BERNAMA

Putrajaya: Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) masih meneruskan tindakan mengatasi masalah teknikal bagi membolehkannya menyampaikan maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung undi pos bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus memastikan maklumat yang jelas, sahih dan terkini disediakan SPR dapat disalurkan bagi makluman pengundi dan rakyat Malaysia di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, sebilangan kecil pejabat Malawakil berdepan masalah teknikal dalam pengemaskinian portal rasmi mereka.

"Pejabat berkenaan sudah dan sedang mengambil tindakan mengatasi masalah teknikal yang berlaku itu.

"Kementerian ingin menjelaskan bahawa pautan ke maklumat terperinci mengenai Permohonan Undi Pos Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 bagi Permohonan Undi Pos Kategori 1B (Luar Negara)-Online, seperti yang tertera di laman web rasmi SPR iaitu https://www.spr.gov.my/ms/permohonan-undi-pos-pru-dun-ke-15, mula dihebahkan di portal rasmi kementerian ini - https://www.kln.gov.my pada 16 Jun lalu.

"Perkara sama turut dimuat naik di semua platform media sosial rasmi utama kementerian iaitu Facebook, Instagram dan Twitter.

"Maklumat ini juga dimuat naik di portal rasmi hampir semua pejabat Malawakil dan platform media sosial rasmi masing-masing mulai tarikh sama," katanya.

Kenyataan itu bagi merujuk laporan sebuah media yang memetik kenyataan Global Bersih berhubung perkongsian maklumat yang salah atau tidak dikemaskini pada portal rasmi pejabat Malawakil mengenai undi pos.

Global Bersih yang beribu pejabat di Geneva adalah sebahagian daripada gerakan yang membantu rakyat Malaysia di luar negara menghantar undi mereka pada pilihan raya umum yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 1:36 PM