Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pemergian Zahidah Hanisah Mohamad, suami, Mohd Riduan Mohd Yaacob dan anak bongsu mereka, Raudhatul Khayra dalam nahas di Kilometer 267.1 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) bukan saja dirasai keluarga malah penduduk setempat.

Ini kerana ibu Zahidah Hanisah adalah pesara guru dan dikenali ramai.

Tinjauan di rumah keluarga mangsa di Kampung Raja, Teluk Pasu, Manir, di sini, mendapati sanak saudara, rakan taulan dan penduduk tidak putus mengunjungi kediaman ibu mangsa bagi mengucapkan takziah sementara menunggu jenazah dari Hospital Kemaman tiba.

Difahamkan jenazah tiba di perkarangan kediaman selewat-lewatnya jam 6 petang.

Dalam kemalangan 4.10 petang semalam, Zahidah Hanisah, 35, Mohd Riduan, 35, maut di lokasi kejadian manakala Raudhatul Khayra, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini.

ORANG ramai menziarahi keluarga mangsa di Kampung Raja, Teluk Pasu, Manir. FOTO Zaid Salim
ORANG ramai menziarahi keluarga mangsa di Kampung Raja, Teluk Pasu, Manir. FOTO Zaid Salim

Seorang lagi anak mangsa, Muhammad Uwais Wafiuddin, 8, masih dirawat di HTAA.

Jenazah dijangka disembahyangkan di rumah keluarga sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, di sini, untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 3:22 PM