Kereta yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan pasangan suami isteri. Foto Rosli Ilham
Kereta yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan pasangan suami isteri. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


Kemaman: "Saya hilang tiga insan tersayang dalam sekelip mata," kata ibu kepada Zahidah Hanisah Mohamad, 35, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 267.1 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Cheneh, petang semalam.

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata, dia cukup sedih mengenangkan nasib cucu, Muhammad Uwais Wafiuddin Mohd Riduan, 8, yang kini tinggal bersendirian selepas ibu bapa dan adik perempuannya pergi menghadap Ilahi.

"Saya tidak putus berdoa agar Muhammad Uwais segera sembuh dan saya bersama ahli keluarganya akan menjaga dia dengan sebaik mungkin ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kemalangan 4.10 petang itu, Zahidah, suaminya, Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, maut di lokasi kejadian manakala anak bongsu mereka, Raudhatul Khayra, 3, meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), hari ini.

Pesara guru itu berkata, hubungannya dengan cucu sangat rapat kerana dia menjaga Muhammad Uwais dan Raudhatul Khayra ketika kedua-dua ibu bapa mereka bekerja.

"Saya akan jaga Muhammad Uwais sebaik mungkin dengan penuh kasih sayang dan saya nak dia belajar dengan cemerlang dan menjadi anak yang berjaya dalam pendidikan," katanya.

Katanya, ketika kejadian, kedua-dua pasangan itu membawa anak mereka ke Kuantan kerana menantunya, Mohd Riduan hendak melakukan rawatan kaki.

"Dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Raja Teluk Pasu, Kuala Terengganu mereka terbabit dalam kemalangan itu.

"Saya sungguh terkejut dan sedih bila mendapat berita anak dan menantu saya itu meninggal serta-merta di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, Zahidah anak yang baik dan menuruti apa saja permintaannya.

"Kali terakhir arwah sempat membawa sate yang saya pesan. Saya tidak sangka keinginan saya menikmati sate bersama arwah adalah kenangan terakhir.

"Apapun saya tetap reda dan berharap supaya roh anak, menantu dan cucu saya ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh," katanya.

Katanya, jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, Kuala Terengganu sebaik proses bedah siasat selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 2:43 PM