JENAZAH  Mohd Riduan dan Zahidah bersama anak mereka Raudhatul Khayra dikebumikan dalam satu liang lahad. FOTO Zaid Salim
JENAZAH Mohd Riduan dan Zahidah bersama anak mereka Raudhatul Khayra dikebumikan dalam satu liang lahad. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: "Kakak ipar (arwah Zahidah Hanisah Mohamad, 35) sudah lama menyatakan keinginan bercuti di pulau tetapi tidak berkesempatan, saya bersyukur sangat hasrat arwah tertunai sebelum dia bersama abang (Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35) pergi meninggalkan kami," kata Siti Saharah Mohd Yaacob, 29.

Siti Saharah memberi reaksi itu ketika mengenang 'pemergian' Mohd Riduan dan Zahidah bersama anak mereka Raudhatul Khayra, 3, yang maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 267.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang semalam.

Menurut Siti Saharah, arwah abangnya bersama keluarganya bercuti di Pulau Perhentian ketika cuti persekolahan pada 29 Mei lalu.

Katanya, arwah kakak iparnya tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau sejak berkahwin dan sangat teruja apabila berpeluang ke Pulau Perhentian akhir Mei lalu.

"Dia (arwah kakak ipar) teruja dan menyatakan hasrat untuk datang kembali ke pulau kerana mendakwa tidak puas. Saya bersyukur sangat hasrat arwah tertunai," katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian tiga beranak itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, di sini, hari ini.

Ibu arwah Mohd Riduan, Zawiah Abd Kadir, 63, berkata, kali terakhir dia bertemu anak, menantu dan cucunya ketika mereka pulang bercuti di Kampung Gong Bayor, Besut sebelum ke Pulau Perhentian.

Katanya, sebelum terbabit kemalangan, arwah anaknya sempat berkongsi gambar dia bersama isteri dan dua anak berehat di kawasan pantai menerusi WhatsApp ketika dalam perjalanan balik ke Kuala Terengganu.

"Saya tak tahu pantai di kawasan mana. Saya tahu anak ke Kuantan untuk merawat penyakit gout dihidapinya. Mereka pergi ke Kuantan Jumaat lalu dan bermalam di situ sebelum pulang selepas selesai rawatan.

"Tidak lama kemudian, kami dikejutkan pula dengan mesej yang dihantar kepada adik arwah memberitahu anak saya itu bersama isteri terbabit kemalangan.

"Ketika menunggu bedah siasat di hospital pagi tadi kami dikejutkan pula dengan berita kematian cucu perempuan berusia tiga tahun," katanya.

Katanya, kehilangan tiga beranak secara serentak meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarga, namun dia sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa anak, menantu dan cucunya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 10:45 PM