BERNAMA

Kuala Terengganu: Pasangan suami isteri maut manakala dua anak mereka parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 267.2, berhampiran susur keluar Jabor dekat Kemaman, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, dan isterinya, Zahidah Hanisah Mohamad, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Dua kanak-kanak dipercayai anak pasangan berkenaan iaitu Muhammad Uwais Wafiuddin, 8, dan Raudhatul Khayra, 3, pula dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.14 petang sebelum lapan anggota dengan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh digerakkan ke lokasi.

KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang terbabas di Kilometer 267.2, LPT2. FOTO tular media sosial
KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang terbabas di Kilometer 267.2, LPT2. FOTO tular media sosial

"Tiada kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua kanak-kanak tersebut masing-masing telah dibawa ke Hospital Kemaman dan Hospital Kuantan untuk diberi rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi JBPM masih diteruskan untuk kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan.

Terkini: Seorang lagi mangsa meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 8:08 PM