Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat, di sini, hari ini tegang seketika apabila beberapa ahli parlimen dilihat cuba mencelah pada sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ketika sesi perbahasan itu, Lee Chuan How (Ipoh Timor-PH) dilihat bangun untuk mencelah tetapi tidak diendahkan oleh Hamzah.

Tindakan itu juga menyebabkan beberapa ahli parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) tidak berpuas hati terhadap Lee.

Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu-PN) dilihat bangun dan menyatakan sekiranya mahu meminta penjelasan, beliau hendaklah menunggu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memanggilnya.

Johari kemudiannya turut bersetuju dengan kenyataan dibuat Ku Abd Rahman dan meminta Lee agar duduk.

"Masa ini orang berucap sahaja yang mempunyai kuasa untuk memberi atau tidak laluan itu.

"Kalau sekiranya orang yang berucap itu tidak memberi laluan, minta maaflah sebab ini masa dia, teruskan Larut," katanya.

Tidak habis di situ, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-PN) pula bangun dengan mendakwa Lee hanya berniat untuk mengacau Hamzah.

Bagaimanapun, Lee mempersoalkan dakwaan dibuat oleh Shahidan sambil bertanya sama ada beliau boleh membaca perkara di dalam minda dan 'kepala otaknya'.

Johari kemudiannya mententeramkan pertikaman lidah itu sambil meminta Lee agar duduk, dan Hamzah meneruskan perbahasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 3:19 PM