Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Empat individu termasuk seorang bergelar 'datuk' ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan berkaitan projek minyak dan gas yang dinamakan Kudat Oil and Gas Industrial (KOGIP).

Keempat-empat suspek berusia 40 hingga 61 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sebuah hotel, di sini, kira-kira 4 petang, 5 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis menahan empat individu yang dikatakan cuba menawarkan projek-projek berkaitan dengan KOGIP.

Katanya, hasil siasatan mendapati semua suspek terbabit tiada kuasa atau tidak mempunyai akses ke atas projek berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati modus operandi mereka adalah menawarkan projek KOGIP dan meminta wang pendahuluan. Bagaimanapun, setakat ini belum ada individu atau kontraktor yang tertipu.

"Siasatan mendapati mereka ini menjadi 'orang tengah' untuk mendapatkan projek berkenaan. Tapi ia difahamkan belum sampai peringkat untuk ditawarkan dan masih dalam proses perbincangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad IPK Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh Dikun (kanan) pada sidang media. FOTO MOHD ADAM ARININ
Jauteh Dikun (kanan) pada sidang media. FOTO MOHD ADAM ARININ

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Deputi Komisioner Shahurinain Jais.

Jauteh berkata, siasatan juga mendapati semua suspek yang berasal dari luar Sabah turut melakukan penipuan di beberapa negeri.

"Polis juga mendapati laporan terhadap semua suspek sebelum ini membabitkan kes penipuan. Polis sedang menyiasat gelaran salah seorang suspek yang mendakwa sebagai 'Datuk'," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 11:47 AM