Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Kes jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 5.96 peratus di negeri ini apabila merekodkan 1,625 kes bagi tempoh Januari tahun ini sehingga 31 Mei lalu berbanding 1,728 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pada masa sama, polis Sabah turut mencatat kejayaan apabila menduduki tempat ketiga bagi penyelesaian kes jenayah di negara ini.

"Walaupun kes jenayah menunjukkan penurunan secara keseluruhan, tetapi kita mendapati jenayah kekerasan meningkat sebanyak 228 kes berbanding 186 kes pada tahun lalu.

"Sementara jenayah harta benda menurun kepada 1,398 kes bagi tempoh sama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,542 kes.

"Kita juga berjaya menyelesaikan 72 peratus daripada kes jenayah termasuk kes gaduh dan gaduh berkumpulan menjadikan Sabah di kedudukan ketiga dalam ranking penyelesaian kes di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad, IPK Sabah, di sini, hari ini.

JAUTEH Dikun (dua kiri) memeriksa barisan kawalan kehormatan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah Bagi Bulan Jun 2023 di Dataran Kawad, IPK Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
JAUTEH Dikun (dua kiri) memeriksa barisan kawalan kehormatan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah Bagi Bulan Jun 2023 di Dataran Kawad, IPK Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Deputi Komisioner Shahurinain Jais.

Menurutnya, bagi kes dadah, sebanyak 6,595 tangkapan dilakukanm dalam 6,218 kes tahun ini, berbanding 5,562 tangkapan untuk 5,259 kes pada tahun lalu.

Katanya, sejumlah RM1.4 juta rampasan pelbagai jenis dadah termasuk RM1.3 syabu berjaya dilalukan bagi tempoh terbabit.

Dalam pada itu, Jauteh menyeru semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah memberikan perkhidmatan terbaik serta berkualiti tinggi dengan meletakkan keadilan dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa pilih bulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 1:26 PM