JAUTEH (tengah) ketika sidang media di IPK Sabah. FOTO Juwan Riduan
JAUTEH (tengah) ketika sidang media di IPK Sabah. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Lelaki yang menetak hingga mati cucu saudaranya yang berusia enam bulan dan mencederakan ibu mangsa di Kinabatangan dipercayai mengalami kemurungan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati suspek menghadapi masalah kemurungan sejak dua tahun lalu.

Katanya, maklumat turut mendapati penyakit suspek seolah-olah tidak diberikan perhatian oleh ahli keluarganya.

"Keadaan ini dipercayai menyebabkan suspek tertekan dan hilang kawalan serta mengamuk.

"Selain itu, difahamkan suspek semakin murung dan tertekan disebabkan seorang anaknya ditangkap pihak berkuasa kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Jauteh berkata, polis sudah mengambil sampel darah suspek untuk mengenalpasti sama ada dia terbabit dalam penyalahgunaan dadah atau berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Katanya, suspek masih ditempatkan di hospital untuk rawatan selepas cedera ketika ditahan oleh orang ramai di lokasi kejadian.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian 10 Mei lalu, bayi berusia enam bulan maut manakala ibunya cedera selepas ditetak oleh suspek di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan.

Berita berkaitan

Bayi 6 bulan maut ditetak datuk saudara

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:44 PM