YUSMIZAL (tengah) dirai Husain (lima dari kiri) dan warga HM selepas dinobat pemenang Hadiah Kajai. FOTO Saifullizan Tamadi.
YUSMIZAL (tengah) dirai Husain (lima dari kiri) dan warga HM selepas dinobat pemenang Hadiah Kajai. FOTO Saifullizan Tamadi.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Kemenangan ini saya dedikasikan buat sahabat baik, Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim," kata Penolong Pengarang Berita Harian Metro (HM), Yusmizal Dolah Aling.

Yusmizal hari ini diumum sebagai pemenang Hadiah Kajai dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2022 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadiah itu utama itu dimenanginya menerusi siri laporan kisah pengorbanan wanita Cina, Chee Hoi Lan, 83, yang memelihara Rohana Abdullah sejak bayi meskipun berlainan bangsa dan agama.

Menurut Yusmizal berkata, arwah Mohd Firdaus adalah insan yang banyak memberikan semangat dan membantunya daripada awal laporan itu dibuat tahun lalu.

"Tentunya saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia satu pengiktirafan tertinggi kepada Harian Metro, menerusi laporan yang saya hasilkan.

"Terima kasih juga khusus kepada Pengarang Kumpulan HM Husain Jahit yang memberi dorongan sepanjang penghasilan laporan Terima Kasih Laoshi ini.

"Ini juga adalah hadiah dinanti-nantikan keluarga besar HM selepas kali terakhir anugerah tertinggi ini dimenangi 30 tahun lalu," katanya ketika ditemui.

Beliau menyifatkan kemenangan itu bukti HM selaku akhbar yang bukan hanya melapor berita tetapi mengetengahkan kisah masyarakat hingga mendapat perhatian pihak berkuasa.

"Apa yang menjadi motivasi untuk saya menghasilkan laporan ini apabila melihat mak cik Hoi Lan berusaha membesarkan Rohana, mengekalkan anak angkatnya itu dalam Islam walaupun berbeza agama.

"Selain itu, terbit rasa untuk saya membantu Rohana sehingga dia mendapatkan taraf warga negara yang turut diimpikan Hoi Lan supaya dia hidup seperti orang lain.

"Sebelum ini Rohana diberhentikan sekolah kerana masalah dokumentasi dan dia terpaksa belajar sendiri untuk memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran," katanya.

Yusmizal berkata, beliau juga terharu dengan kerjasama diberikan aktivis masyarakat, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim yang berusaha merujuk isu dokumentasi Rohana kepada pihak berwajib sehingga selesai.

"Saya juga tidak menyangka bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpanggil membantu Rohana dan menelefon dia sendiri untuk mengetahui kisah sebenar selepas laporan itu disiarkan HM.

"Saya merasakan ia seperti satu pengiktirafan apabila laporan itu mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara," katanya.

Kemenangan itu membolehkan Yusmizal membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, trofi serta sijil.

Pada 1993, HM memenangi Hadiah Kajai menerusi laporan 'Kakakku penyelamatku' oleh Rasid Rahaman dan Hamid Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 11:46 PM