CHEE Hoi Lan (kiri) bersama Rohana. FOTO Amirudin Sahib
CHEE Hoi Lan (kiri) bersama Rohana. FOTO Amirudin Sahib
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sehari selepas kisah hidup Rohana Abdullah bersama 'laoshi' Chee Hoi Lan disiarkan, ribuan netizen tampil mendoakan kesejahteraan hidup mereka.

Rata-rata netizen berkongsi harapan mereka agar kedua-dua anak dan ibu angkat itu dipermudahkan urusan mereka selepas ini.

Pemerhatian wartawan di ruangan komen media sosial berkaitan kisah Kasih tidak bertepi 'laoshi', semalam mendapati ramai dalam kalangan netizen mendoakan agar fasa seterusnya hidup mereka menjadi lebih baik.

Tidak kurang juga yang kagum dengan kasih sayang tidak berbelah bahagi Hoi Lan yang menjaga Rohana walaupun mereka berbeza fahaman dan agama.

Seorang netizen, Mariah Mariah turut berharap urusan Rohana dan 'ibunya' itu dipermudahkan.

"Alhamdulillah, semoga aunty diberi hidayah oleh Allah atas segala pengorbanan. Moga dipermudahkan segala urusan mereka berdua," katanya.

Bagi Kamisan Adnan, apa yang dilakukan Hoi Lan itu mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi dan berharap semoga dia terus diberikan kesihatan.

"Tinggi sungguh nilai kemanusiaan dalam diri Makcik Chee 83 tahun yang sanggup membela Rohana dari kecil hingga dewasa. Semoga Makcik Chee sihat & diberi hidayah Islam, Rohana dapat mendirikan rumah tangga sebaik mungkin dan pertolongan memperolehi kerakyatan Malaysia oleh Haji Gulam untuk Rohana dipermudahkanNya jua.

"Inilah ketikanya seorang anak murid membantu seorang bekas gurunya…," tulisnya.

Kisah berkenaan yang mendapat lebih 1,300 perkongsian turut menimbulkan rasa hiba dalam kalangan netizen.

Kemurnian wanita warga emas itu menyediakan belanja untuk Rohana belajar fardu ain, menyentuh hati mereka.

Seorang pembaca, Khalid Ahmad Zahari berkata, dia kagum dengan kebaikan hati Hoi Lan membesarkan Rohana sehingga kini.

"Menitis juga air mata menghayti jalan cerita mereka berdua. Begitu baik dan mulianya hati Laoshi. Gambar itu pun sudah mengusik perasaan.

Pembaca lain, Sharifah Salwa berkata, dia berharap hasrat Hoi Lan melihat Rohana mendirikan rumah tangga satu hari nanti tercapai.

"Sedihnya… baik sungguh auntie ni, moga diberi hidayah dari Allah, sihat selalu dan tercapai hajat dia nak tengok anak dia kawin. Aamin," tulisnya.

Selain itu wartawan juga menerima banyak emel daripada pelbagai pihak yang ingin membantu mereka.

Ia termasuklah ingin menjaga Hoi Lan yang sudah lanjut usia, khidmat guaman dan pengurusan bagi proses mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, setakat ini pihaknya juga menerima maklum balas daripada agensi berkaitan berhubung isu ini.

"InsyaAllah kita doakan ada pengakhiran yang baik. Terima kasih kepada mereka yang bertanyakan isu ini," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 3:19 PM