SZE Fei (kiri) dan Nur Izzuddin mengalahkan Kjaer-Sogaard untuk menjadikan kedudukan 2-2. FOTO ARKIB NSTP
SZE Fei (kiri) dan Nur Izzuddin mengalahkan Kjaer-Sogaard untuk menjadikan kedudukan 2-2. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pertarungan antara Malaysia dan Denmark bagi aksi terakhir Kumpulan D Piala Thomas diheret ke perseorangan penentuan selepas kedudukan terikat 2-2.

Ia selepas beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyumbang mata penyamaan menyaksikan kedua-dua negara terikat 2-2.

Sze Fei-Izzuddin tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 23-21, 22-20 menumpaskan beregu kedua Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech di Chengdu, China.

Selepas dua perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao tumpas, beregu lelaki terus cemerlang menyumbang mata sama seperti dilakukan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menumpaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 17-21, 21-17, 21-16.

Mata kemenangan skuad Piala Thomas sekarang ini bergantung kepada perseorangan ketiga Justin Hoh yang turun berdepan Rasmus Gemke.

Malaysia memburu kemenangan kali ketiga berturut-turut dalam aksi Kumpulan D untuk mencari status selaku juara kumpulan seterusnya memperoleh undian lebih mudah di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 9:07 PM