Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak pernah membuat pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dakwaan Guan Eng membatalkan pengecualian itu adalah tidak benar sama sekali.

"Kerajaan mengesahkan dari rekod Kementerian Kewangan bahawa Yang Berhormat Bagan (Guan Eng) semasa menjawat Menteri Kewangan tidak pernah membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian sebelumnya didakwa diberikan kepada Yayasan AlBukhary.

"Maka dakwaan dibuat bahawa beliau (Guan Eng) membatalkan pengecualian adalah tidak benar.

"Ini kerana hakikatnya kelulusan (pengecualian cukai) dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan pengecualian cukai di luar kebiasaannya yang melibatkan Yayasan Albukhary dan Kumpulan Albukhary," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

ANWAR Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. FOTO Bernama
ANWAR Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. FOTO Bernama

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang memintanya menyatakan sama ada Guan Eng membatalkan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary ketika masih memegang jawatan Menteri Kewangan sebelum ini.

Menjawab soalan tambahan Kee Chin mengenai pembatalan sesuatu pengecualian cukai di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Anwar berkata, ia di bawah kuasa mutlak Ketua Pengarah LHDN.

"Memang kuasa pengecualian (cukai) bukan kuasa menteri (kewangan) atau Perdana Menteri (tetapi) ia kuasa mutlak Ketua Pengarah LHDN," katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan mendakwa Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mengenakan semula cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Muhyiddin mendakwa, selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada Mei 2018, LHDN enggan melaksanakan pengecualian cukai yang diberikan sebelum ini.

Susulan itu, pada 15 Mac lalu, Guan Eng melalui Tetuan Gouk menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya menarik balik kenyataan dan memohon maaf berhubung tuduhan yang mengaitkan beliau dengan pembatalan cukai kepada yayasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 1:02 PM