SEBANYAK 13 kontena mengandungi bahan mudah terbakar jenis aerosol musnah dalam kebakaran dekat Northport, Jalan Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM Selangor
SEBANYAK 13 kontena mengandungi bahan mudah terbakar jenis aerosol musnah dalam kebakaran dekat Northport, Jalan Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 13 kontena yang mengandungi bahan mudah terbakar jenis aerosol musnah dalam kebakaran dekat Northport, Jalan Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, panggilan kecemasan diterima pada 10.27 pagi dan 50 anggota dan pegawai bomba digegaskan ke lokasi kejadian bersama 14 jentera membabitkan sembilan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).

Katanya, BBP yang terbabit dalam operasi itu adalah Pelabuhan Klang; Andalas, Sungai Pinang; Kota Raja; Kota Anggerik; Shah Alam; Petaling Jaya; Cyberjaya dan Serdang.

"Didapati 13 daripada 333 unit kontena berkeluasan 400 kaki persegi dan 200 kaki persegi terbakar dengan anggaran kemusnahan 80 peratus.

"Kejadian tidak membabitkan mangsa dan kebakaran berjaya di kawal pada 11.40 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2.20 petang dan kerja 'overhaul' masih dilakukan di lokasi.

Terdahulu, video kebakaran kontena itu turut tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:57 PM