MENURUT Sin Woon (tengah) usaha sama dengan syarikat perkapalan berhasil dalam memuatkan kapal dengan lebih banyak kontena eksport dan ‘transhipment’ yang lama berada di pelabuhan.
MENURUT Sin Woon (tengah) usaha sama dengan syarikat perkapalan berhasil dalam memuatkan kapal dengan lebih banyak kontena eksport dan ‘transhipment’ yang lama berada di pelabuhan.
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Pelaksanaan langkah pemulihan oleh Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dengan kerjasama pihak berkaitan berjaya mengurangkan kesesakan serta lambakan kontena di pelabuhan.

Pengerusi LPK, Datuk Chong Sin Woon berkata, sehingga 8 Januari lalu, kerjasama dengan Northport, Westports, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan beberapa persatuan logistik berjaya mencapai pelbagai kemajuan.

"Penambahan bilangan tenaga kerja MAQIS bagi melakukan pemeriksaan kontena dengan 100 peratus daripada kontena ditahan diperiksa dan dilepaskan dalam masa satu hari adalah peningkatan terbesar berbanding 60 peratus sebelumnya.

"Pengambilan kontena reefer oleh pihak 'haulier' dan penerima (consignees) menunjukkan peningkatan ketara dengan hampir 50 peratus dihantar dalam masa 24 jam selepas 'gate pass' dikeluarkan berbanding 30 peratus sebelumnya.

"Lanjutan daripada itu, kadar penggunaan 'reefer yard' ditambah baik dengan penurunan kepada 95 peratus daripada 100 peratus minggu lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Chong berkata, usaha sama dengan syarikat perkapalan berhasil dalam memuatkan kapal dengan lebih banyak kontena eksport dan 'transhipment' yang lama berada di pelabuhan.

"Beberapa syarikat perkapalan mengerahkan kapal tambahan untuk tujuan ini dan pelabuhan memberi keutamaan kepada kapal itu berlabuh bagi memudahkan pusingan kapal dengan lebih cepat.

"Selain itu, ejen penghantaran dan pengimport meningkatkan usaha membawa keluar kontena import dari pelabuhan lebih awal dan mengelakkan penyimpanan dalam kawasan pelabuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 9:19 AM