Anggota bomba memadamkan kebakaran. FOTO ihsan JBPM
Anggota bomba memadamkan kebakaran. FOTO ihsan JBPM
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Tiga lot gudang tempat memproses makanan haiwan di Pelabuhan Klang Free Zone (PKFZ) hampir musnah dijilat api dalam satu kebakaran malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 11 malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Pelabuhan Klang, Sungai Pinang, Kota Anggerik, Kota Raja dan Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati deretan tiga lot bangunan gudang memproses makanan haiwan ternakan dengan keluasan 5,000 kaki persegi (setiap lot) terbakar.

"Lot 29 didapati terbakar 80 peratus manakala lot 28 dan 30 terbakar 10 peratus. Kebakaran berkenaan tidak membabitkan bahan kimia berbahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kerja pemadaman api selesai jam 1 pagi dan kerja-kerja 'overhaul' masih dijalankan menggunakan excavator.

Tambahnya, tiada mangsa yang terbabit dalam kebakaran itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 11:36 AM