Norzamira Che Noh


Shah Alam: Usaha memadamkan kebakaran gedung tekstil, Jakel Shah Alam di Seksyen 7, di sini masih giat dilakukan selepas hampir empat jam premis itu terbakar pagi ini.

Tinjauan di lokasi mendapati api masih lagi marak dan dikhuatiri merebak ke kedai bersebelahan.

Difahamkan, bahagian dalam gedung tekstil di bangunan tiga tingkat itu musnah terbakar.

Butik pakaian yang terletak di sebelah gedung berkenaan juga dilihat mengeluarkan barangan masing-masing ekoran bimbang api yang sedang marak.

Dalam pada itu, suasana di lokasi kebakaran juga mendapati ramai penduduk sekitar berkumpul untuk melihat usaha pemadaman api yang dilakukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Terdahulu, Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata pihaknya terdahulu menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 7.08 pagi.

Susulan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota serta aset daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam; BBP Kota Anggerik; BBP Subang; BBP Kota Raja; BBP Damansara; BBP Sungai Pinang dan BBP Puchong digegaskan ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 11:40 AM
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berusaha memadam kebakaran gedung tekstil terkemuka, Jakel cawangan Shah Alam yang musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi. FOTO FAIZ ANUAR
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berusaha memadam kebakaran gedung tekstil terkemuka, Jakel cawangan Shah Alam yang musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi. FOTO FAIZ ANUAR