DATUK Muhamad Zaki Harun  dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DATUK Muhamad Zaki Harun dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Sepasang kekasih ditahan polis dipercayai memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM69,401 dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Jalan Kuala Krai - Kota Bharu, Ketereh, di sini, jam 2.25 petang, kelmarin.

Rampasan berkenaan membabitkan 5,070 biji pil kuda, 88.8 gram syabu, 21.5 gram ganja dan 33 biji pil ekstasi yang boleh digunakan untuk 5,993 penagih.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata suspek lelaki berusia 27 tahun dan wanita berumur 31 tahun itu didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati pasangan ini kedua-duanya positif dadah. Mereka ditahan selama tujuh hari bermula semalam sehingga 12 Jun, untuk tujuan siasatan lanjut.

"Kami turut menyita kereta dengan nilai RM88,000 serta dua motosikal berharga RM7,000 melalui serbuan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Perlucuthakan Harta) 1988, Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, dan Seksyen 39B ADB 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki turut berkongsi kejayaan pihaknya menahan seorang penganggur lelaki berusia 25 tahun dipercayai memiliki 22,000 biji pil kuda bernilai RM242,000 di Kampung Dangar, Pasir Mas, pada 30 Mei lalu.

"Dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh 22,000 penagih. Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 31 Mei sehingga semalam dan disambung semula sehingga 13 Jun nanti bagi tujuan siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:45 PM