Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis Kelantan menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di daerah ini selepas menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM6.4 juta.

Semua suspek berusia antara 27 sehingga 39 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan bermula 29 Ogos lalu dan kini direman selama 13 hari, sehingga 11 September ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah yang dirampas adalah 624,000 biji pil kuda, 400 biji pil Erimin dan 78,810 gram (g) ganja.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 27 di tepi Jalan Pengkalan Chepa di sini, yang mana pemeriksaan dalam Perodua Viva dipandunya menemui beg plastik berisi pil kuda dan Erimin di tempat duduk penumpang hadapan.

MUHAMAD Zaki (kiri) dan pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Kelantan, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa.
MUHAMAD Zaki (kiri) dan pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Kelantan, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa.

"Susulan penahanannya, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian dan menemukan 100 lagi bungkusan pil kuda dan 80 bungkusan ganja.

"Hasil siasatan, pihak kami berjaya menahan tiga lagi lelaki di di Pengkalan Chepa, Kampung Ketapang dan Pasir Tumboh yang disyaki terbabit dengan kumpulan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek kelima ditahan di Seri Kembangan, Selangor, manakala ujian saringan air kencing ke atas mereka semua mendapati negatif dadah.

Katanya, semakan rekod menunjukkan suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

"Rampasan dadah itu boleh digunakan 703,210 penagih dan kami percaya ia untuk pasaran tempatan Kelantan dan Lembah Klang," katanya yang memberitahu usaha memburu saki baki suspek sedang giat dilakukan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala rampasan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 1:44 PM