DATUK Seri Azalina Othman Said (kiri) ketika sidang media mengenai Tuntutan Sulu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Seri Azalina Othman Said (kiri) ketika sidang media mengenai Tuntutan Sulu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan syarikat antarabangsa menjadi dalang yang membiayai litigasi Kumpulan Sulu dalam tuntutan ke atas aset Malaysia di luar negara.

Katanya, kerajaan mengenal pasti syarikat itu yang bertindak sebagai pembiaya litigasi dalam kes tuntutan yang ada unsur penipuan komersial.

"Jelas sekali tuntutan Kumpulan Sulu itu ada unsur penipuan komersial bukannya tuntutan abritrasi.

"Kami mengesyaki (terdapat) pembiaya litigasi di sebalik tuntutan Kumpulan Sulu yang biasanya 'membuat duit'.

"Kita melihat ini satu gerakan yang lebih pada elemen untuk membuat duit, dan kita tahu bahawa pembiaya litigasi itu selalunya akan mengambil 25 peratus hingga 30 peratus daripada jumlah tuntutan," katanya dalam sidang media selepas taklimat dengan Ketua Penerangan Umno Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar 'Partial Award' yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan Perancis mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya.

Sebelum ini, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun percaya tuntutan Kumpulan Sulu mungkin didorong oleh barisan peguam dan syarikat insurans.

Azalina menjelaskan beliau meragui tindakan syarikat itu membiayai tuntutan Kumpulan Sulu yang jelas berkaitan klausa di bawah urusan timbang tara bukannya tuntutan komersil.

"Tapi isunya bukan perniagaan, ini bukan syarikat, ini bukan klausa timbangtara antarabangsa. Malaysia adalah sebuah negara berdaulat," katanya

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata syarikat yang bertindak di belakang tuntutan ini adalah sebuah syarikat besar yang bukan daripada Asia Tenggara.

Namun beliau enggan mendedahkan nama syarikat itu.

Pembiaya litigasi bermaksud pihak ketiga yang tidak berkaitan yang membiayai sebahagian atau semua perbelanjaan undang-undang bagi satu atau lebih pertikaian undang-undang sebagai pertukaran untuk bahagian hasil yang diperoleh daripada penyelesaian pertikaian.

April lalu, Azalina dilaporkan berkata, tuntutan Kumpulan Sulu melalui timbang tara komersial dan prosiding terhadap Malaysia dibiayai oleh dana litigasi dikenali sebagai Therium.

Dalam laman web milik syarikat, Therium atau Therium Capital Management Limited, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu adalah John Byrne.

Tidak dinyatakan syarikat itu berpangkalan di mana namun beberapa media melaporkan ia berpangkala di London dengan mempunyai pejabat cawangan di seluruh dunia.

Syarikat itu dikatakan menguruskan proses perbicaraan undang-undang paling utama di dunia dengan aktiviti di seluruh dunia termasuk di Eropah, Amerika Selatan dan Utara serta Asia Pasifik dengan tuntutan keseluruhan melebihi AS$100 bilion (RM400 bilion) termasuk kes-kes tuntutan yang berprofil tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:33 PM