ANTARA suspek yang ditangkap selepas dipercayai menyamun kedai makan. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA suspek yang ditangkap selepas dipercayai menyamun kedai makan. FOTO Ihsan PDRM.
Melvin Joni


Padawan: Lima daripada tujuh penjenayah yang disyaki menyamun sebuah kedai makan di Batu 11, Jalan Matang di sini, ditahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, empat daripada suspek berusia antara 34 hingga 41 tahun dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Arang, Kuching, pada 5.30 petang.

Katanya, seorang lagi suspek berusia 38 tahun ditahan di sebuah kedai makan di Jalan Abell, Kuching pada 12.10 tengah malam tadi.

"Tangkapan dibuat susulan laporan kes samun berkumpulan di sebuah kedai makan di Batu 11, Jalan Matang, pada 3.01 pagi, 3 Jun lalu.

"Mengikut laporan, pengadu iaitu lelaki berusia 27 tahun didatangi tujuh lelaki bertopeng dan membawa pelbagai senjata tajam serta tukul besi, pada 12.50 tengah malam.

"Pengadu bersama-sama pekerja dan pelanggan sempat melarikan diri.

"Sebaik kesemua suspek beredar menggunakan dua kenderaan, pengadu membuat pemeriksaan di dalam kedai sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Kawa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan rompak kedai serbaneka serta kedai makan sekitar kawasan Batu Kawa, Matang dan Kuching.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Abang Zainal turut mengingatkan semua pemilik serta pengusaha kedai serbaneka atau kedai makan yang beroperasi 24 jam supaya meningkatkan tahap keselamatan persekitaran seperti menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sudut yang strategik, menerangi kawasan premis dan keselamatan berpagar di kaunter jualan untuk keselamatan pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 5:26 PM