ANTARA senjata api, peralatan dan peluru yang dirampas dalam Op Laras di Kampung Batu 19, Sarawak hari ini.
ANTARA senjata api, peralatan dan peluru yang dirampas dalam Op Laras di Kampung Batu 19, Sarawak hari ini.
Norsyazwani Nasri


Serian: Padah mengambil upah membaiki senjata api dan memiliki pelbagai peralatan dan senjata, seorang lelaki ditahan polis, hari ini.

Suspek berusia 50-an itu diberkas dalam operasi khas, Op Laras di sebuah rumah di Kampung Batu 19, Jalan Kuching-Serian di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, operasi itu membabitkan pasukan Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan.

Katanya, antara yang dirampas adalah pelbagai komponen senapang patah, peralatan yang digunakan untuk membuat atau membaiki senjata, dua unit senapang angin yang lengkap dan amunisi.

"Tangkapan ini berjaya dilakukan hasil daripada intipan serta risikan maklumat.

"Siasatan mendapati kegiatan suspek di rumahnya bermula sejak tiga tahun lalu dipercayai bagi menambah pendapatan, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek dibayar upah berbeza-beza, mengikut tahap kerosakan senjata.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan juga mengikut Seksyen 9(2) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan juga denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Abang Zainal Abidin turut mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 11:21 PM