GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuching: Bunyi letupan dalam kes video tular pergaduhan antara adik-beradik di Jalan Batu Kawa-Matang di sini, baru-baru ini, bukan berpunca daripada letupan senjata api.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebaliknya bunyi letupan itu adalah berpunca daripada bunyi mercun.

"Daripada siasatan serta keterangan saksi yang ada mengesahkan bahawa bunyi meletup itu adalah bunyi mercun yang dibakar daripada pihak yang terbabit dalam insiden pergaduhan itu.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi tanpa fakta sebenar kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Abang Zainal Abidin dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang pengadu berumur 30-an mengenai insiden pergaduhan itu pada 22 Februari lalu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang boleh dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Beberapa orang suspek dikenal pasti dan Op Cantas telah dilancarkan untuk menangkap semua suspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 4:59 PM