GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Padawan: Polis sedang memburu seorang lelaki yang kini menyembunyikan diri selepas mencederakan kakaknya dengan menumbuk mangsa di kepala dan badan di Kampung Segedup, Jalan Batu Kawa di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila suspek mengamuk selepas ditegur oleh mangsa kira-kira 3.34 petang.

Susulan itu, mangsa, 34, yang juga anggota bomba tampil membuat laporan di Balai Polis Batu Kawa pada 5.52 petang.

"Sebelum kejadian, mangsa dan adik serta suspek berada di dapur, sebelum secara tiba-tiba suspek membuat bising, membebel, memaki hamun serta menuduh mangsa membuat perkara tidak baik di belakang suaminya.

"Mangsa kemudian menegur suspek menyebabkan suspek terus memukulnya bertubi-tubi di bahagian kepala, bahu, lengan dan tangan kiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata, suspek yang juga anak kedua daripada empat beradik juga sering mengamuk tanpa sebab terhadap adik-beradik dan ibu bapanya namun mereka tidak membuat laporan polis.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 323/18A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 5:01 PM