RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis sedang mengesan empat lelaki yang dipercayai memukul gelandangan di daerah ini sebagaimana tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihak mengesan dua video kes pukul di Twitter semalam.

"Video itu memaparkan empat lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kenderaan.

"Suspek dipercayai memukul seorang lelaki dipercayai gelandangan menggunakan pemukul besbol jenis besi di bawah jambatan Pelabuhan Klang serta berhampiran Lembah Beringin.

"Pada jam 12.02 tengah malam tadi, polis menerima satu laporan daripada wanita warga tempatan berumur 43 tahun mendakwa melihat klip video sama di Instagram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

"Setakat ini, polis sedang menjalankan usaha mengesan mangsa bagi mengetahui kejadian yang sebenar.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan (03-33762222) atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 4:16 PM