LAPORAN Terdahulu Harian Metro
LAPORAN Terdahulu Harian Metro
Norzamira Che Noh


Klang: Polis menahan tiga remaja lelaki yang dipercayai memukul lelaki gelandangan selepas rakaman video perbuatan mereka itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua remaja warga tempatan berusia 16 tahun itu ditahan sekitar daerah ini, kira-kira 3 pagi, hari ini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

"Hasil siasatan mendapati, ada tiga kejadian membabitkan tiga mangsa berbeza, justeru polis mempergiatkan usaha untuk mengesan mangsa lain

"Kesemua suspek direman tiga hari sehingga Rabu ini. Polis juga masih mencari seorang lagi lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Semalam media melaporkan, suspek dipercayai memukul seorang lelaki gelandangan menggunakan pemukul besbol besi di bawah jambatan Pelabuhan Klang dan berhampiran Lembah Beringin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 2:23 PM