Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Norzamira Che Noh


DUA lelaki dipercayai terbabit dalam jenayah samun berkumpulan di Taman Klang Jaya, Klang yang tular di media sosial pada 31 Oktober lalu diburu polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sebelum ini, kejadian berkenaan tersebar selepas satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial.

“Kita mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian samun berkumpulan itu dan polis kini masih giat mengesan dua suspek berkenaan.

“Sehubungan itu, polis kini cuba mengesan dua lelaki iaitu R Sugan atau dikenali sebagai Sugan berusia 32 tahun yang beralamat di Taman Sentosa dan K Rhubenesh atau Ruby Desawan, berusia 28 tahun dan beralamat di Taman Desawan, Klang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Ahad lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya merampas Proton Persona kelabu yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah samun.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang masih bebas itu boleh terus menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes berkenaan di siasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian 10 pagi, 31 Oktober lalu, mangsa seorang wanita kehilangan Perodua Kelisa, komputer riba, Ipad, telefon bimbit serta wang tunai RM1,200 selepas disamun dua lelaki.

Rakaman CCTV berdurasi enam minit 20 saat itu menunjukkan mangsa yang memandu Perodua Kelisa, baru saja tiba di sebuah rumah dan sebuah kereta dilihat berlegar-legar di luar kediamannya, dipercayai dinaiki sekurang-kurangnya tiga individu.

Mangsa didapati tidak sempat menutup semula pintu pagar elektronik selepas dia memasuki perkarangan rumahnya, sebelum seorang daripada suspek meloloskan diri dan mendekati wanita itu yang masih berada dalam kenderaannya.

Suspek dilihat bercakap dengan mangsa sebelum seorang lagi lelaki memasuki perkarangan rumah mangsa dan mengambil kunci rumah daripada wanita itu serta memasuki kediaman berkenaan.

Tidak lama kemudian, suspek pertama dilihat memaksa mangsa memasuki rumah dan menutup pintu rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 8:58 PM