RAKAMAN kamera papan pemuka (dashcam) dari sebuah kenderaan menunjukkan insiden samun berkenaan.
RAKAMAN kamera papan pemuka (dashcam) dari sebuah kenderaan menunjukkan insiden samun berkenaan.
Norzamira Che Noh


Klang: Ejen hartanah berdepan detik cemas apabila dua individu memecahkan cermin kereta dan menyamunnya di Persiaran Pegaga dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, pada kejadian 2.50 petang itu, mangsa berusia 40 tahun kehilangan sebuah komputer riba dan mengalami kerugian termasuk akibat cermin yang dipecahkan, kira-kira RM6,000.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu, 7.20 malam tadi.

Katanya, hasil siasatan mendapati sebelum kejadian, mangsa mengeluarkan sejumlah wang dari mesin ATM di Jalan Meru di sini, kira-kira 2 petang.

"Selepas itu, mangsa memandu Mercedes menghala ke Bukit Tinggi, Klang, untuk berjumpa dengan rakan sebelum disamun dua lelaki ketika berhenti Persiaran Pegaga.

"Dua suspek itu bertindak memecahkan cermin pintu hadapan sebelah pemandu dan penumpang menggunakan kayu besbol serta sebilah parang.

"Setelah cermin berjaya dipecahkan, suspek memaksa mangsa menyerahkan beg komputer riba seterusnya melarikan diri dengan menaiki Toyota Yaris berwarna Perak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan selepas patah tulang jari di sebelah kiri serta calar di lengan sebelah kanan dan mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan di Bukit Tinggi.

Katanya, susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dari sebuah kenderaan menunjukkan satu insiden samun di jalan raya yang sibuk, tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 9:19 AM