FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Norzamira Che Noh


Klang: Empat lelaki warga tempatan diberkas polis dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan di Taman Sentosa seperti yang tular di media sosial.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Sentosa sekitar jam 2 hingga 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahan empat lelaki itu hasil laporan polis diterima susulan video rusuhan yang turut membabitkan penggunaan sebilah pedang samurai itu tular di media sosial.

"Menerusi video berdurasi 50 saat itu, satu insiden rusuhan membabitkan beberapa orang lelaki yang mana seorang lelaki yang memakai baju putih serta berseluar pendek sedang mengejar seorang lelaki lain dengan satu objek di tangannya dipercayai pedang samurai.

"Kejadian itu dipercayai berlaku di tepi jalan Dato' Yusof Shahbudin, Taman Sentosa dekat sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, susulan itu polis berjaya menangkap empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, polis juga berjaya merampas sebilah parang, satu telefon bimbit serta sebuah pikap.

"Polis kini sedang giat memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Jacky.

"Orang awam mempunyai maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada ASP Zamrus Zakaria (019-6892777) atau kepada Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau ke balai-balai Polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:45 PM