SEBUAH tasik bekas kuari yang dipanggil tasik 'Black Lake' dikesan dijadikan tapak pembuangan sampah secara haram. FOTO Bernama
SEBUAH tasik bekas kuari yang dipanggil tasik 'Black Lake' dikesan dijadikan tapak pembuangan sampah secara haram. FOTO Bernama
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggandakan usaha untuk menutup 300 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia bertujuan mengelakkan ancaman terhadap kualiti alam sekitar, terutamanya semasa musim panas.

Beliau berkata, KPKT melepasi sasaran dengan menutup 128 tapak sampah haram, berbanding 100 yang disasarkan sebelumnya.

"Tahun ini, kita sasar 300 tapak pelupusan sampah haram ditutup, khususnya di Selangor, kerana banyak kawasan industri. Tiada kompromi berhubung kebersihan serta kualiti alam ini.

"Kita akan memaklumkan status perkembangan apabila kerja siap (jumlah penutupan tapak pelupusan sampah haram) dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pasar Awam Sekinchan di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, perbincangan akan dilakukan khususnya dengan Kerajaan Selangor berhubung pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menurutnya, ia bertujuan mengukuhkan strategi bagi mengelakkan pembuangan sampah haram dengan membabitkan kontraktor-kontraktor dilantik bagi pembuangan sampah industri.

"Ini supaya penyelesaian terbaik (membabitkan kontraktor haram) dalam mengatasi masalah kronik (tapak sampah haram) yang sudah berlarutan lama dan bukannya berlaku (sejak) hari ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di tahap tertinggi untuk operasi pemadaman disebabkan cuaca panas.

"Tahun ini, KPKT diberi peruntukan tambahan, khususnya kepada JBPM, sebanyak RM46.15 juta bagi membeli peralatan dan perolehan.

"Saya minta orang ramai berhenti melakukan pembakaran terbuka terutama pada musim panas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 2:35 PM