SEBUAH lori dipercayai membawa muatan sampah dikesan di tapak pembuangan sampah haram di daerah ini. FOTO Ihsan pembaca
SEBUAH lori dipercayai membawa muatan sampah dikesan di tapak pembuangan sampah haram di daerah ini. FOTO Ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Pilih lokasi tersorok di kawasan perkampungan sebagai `pusat' pembuangan sampah haram. Itu tindakan dilakukan `sindiket sampah' yang dikesan menggunakan lori untuk memunggah dan membuang berjuta tan sampah setiap hari di daerah ini.

Difahamkan sindiket ini memilih kawasan di Kampung Seri Sentosa, Kampung Seri Aman, Desa Coafields dan Bandar Seri Coalfields di daerah ini sebagai tempat melonggokkan sampah.

Susulan itu pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera dengan menutup tapak pembuangan sampah haram di daerah ini kerana mengganggap keselesaan penduduk dengan lalat dan bau busuk daripada aktiviti terbabit.

Salah seorang penduduk Kampung Seri Sentosa, Hairul Razid Mohamad Seri, 36, mendakwa, masalah bau busuk dan lalat dari tapak pembuangan sampah haram itu sejak lima tahun lalu menjejaskan kehidupan mereka.

HAIRUL Razid. FOTO Ihsan pembaca
HAIRUL Razid. FOTO Ihsan pembaca

"Selalunya, pembuangan sampah dibuat tanpa mengira waktu dan boleh dikatakan setiap hari kami terganggu dengan bau busuk. Itu belum lagi musim lalat 'menyerang'.

"Malah, jika berlaku banjir, sampah dari tapak pembuangan seperti lampin pakai buang dan sisa binaan akan hanyut ke rumah penduduk. Akibatnya, penduduk sendiri menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab ini," katanya tadi.

Hairul berkata, pihak berwajib perlu membuat pemantauan berterusan bagi menghalang pembuangan sampah di tapak terbabit.

"Untuk jangka masa panjang, kami berharap tapak (pembuangan sampah haram) itu ditutup demi kebaikan dan kesihatan penduduk setempat," katanya.

Seorang lagi penduduk Mohamad Wagiman, 71, berkata, pelbagai masalah akan timbul sekiranya masalah pembuangan sampah haram tidak diatasi dengan tindakan tegas.

"Sampai bila masalah ini akan berlaku?. Sudahlah tapak pembuangan sampah itu dekat dengan sungai. Risau sungai itu pula yang tercemar dengan bahan buangan terutamanya sisa toksik," katanya.

MOHAMAD Wagiman. FOTO Ihsan pembaca
MOHAMAD Wagiman. FOTO Ihsan pembaca

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Shaid Rosli berkata, kira-kira 10,000 penduduk di empat kawasan iaitu Kampung Seri Sentosa, Kampung Seri Aman, Bandar Seri Coalfields dan Desa Coalfields terkesan susulan masalah sampah haram itu.

Beliau difahamkan, mana mana individu atau syarikat dikenakan bayaran serendah RM30 bagi melupuskan sampah haram di kawasan itu.

"Penduduk sudah membuat aduan berkali-kali mengenai masalah ini. Namun, ia seolah-olah tiada penghujung.

"Saya minta pihak berwajib khususnya Majlis Daerah Kuala Selangor segera mengambil tindakan tegas dalam perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:23 PM