NGA Kor Ming. FOTO Bernama
NGA Kor Ming. FOTO Bernama
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggandakan usaha untuk menutup 300 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata, usaha itu bertujuan mengelakkan ancaman terhadap kualiti alam sekitar terutamanya ketika musim panas.

"Tahun ini sahaja kita sasar 300 tapak pelupusan sampah haram ditutup khususnya di Selangor kerana banyak kawasan industri. Tiada kompromi berhubung kebersihan serta kualiti alam ini.

"Kita akan memaklumkan status perkembangan apabila kerja siap dalam masa terdekat," katanya ketika lawatan kerja ke Pasar Awam Sekinchan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim; ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail dan Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azman Dahlan.

Pada masa sama, Kor Ming berkata, perbincangan akan dilakukan khususnya dengan Kerajaan Selangor berhubung pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menurutnya, ia bertujuan mengukuhkan strategi bagi mengelakkan pembuangan sampah haram dengan membabitkan kontraktor bagi pembuangan sampah dari industri.

"Ini supaya penyelesaian terbaik (kontraktor haram) dalam mengatasi masalah kronik (tapak sampah haram) yang telah berlarutan lama dan bukannya berlaku (sejak) hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 2:50 PM