GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Kubang Pasu, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, suspek berusia antara 23 hingga 53 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Alor Setar dan Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu antara 7.30 pagi hingga 12 tengah hari yang sama.

"Tangkapan dilakukan di gudang minyak kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam dan sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Panchor, Alor Setar.

"Turut dirampas, Proton Perdana warna hitam, sebuah satu beg galas, sehelai seluar denim pendek dan sehelai baju sejuk hitam untuk membantu siasatan.

"Selain itu, polis turut merampas dua burung, murai batu dan mural jambul serta 100 keping wang kertas RM1 iaitu hasil dari rumah yang dipecah masuk," katanya ketika dihubungi hari ini.

Chien berkata, hasil semakan mendapati semua suspek dipercayai mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiganya positif methamphetamine.

"Siasatan lanjut diteruskan untuk mengenal pasti sama ada mereka terbabit dengan kes pecah rumah lain terutama di sekitar kawasan Kubang Pasu.

"Kesemua suspek direman selama lima hari bermula semalam sehingga 2 Jun ini untuk membantu siasatan," katanya.

Chien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 7:51 AM