MOTOSIKAL dan dadah dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis.
MOTOSIKAL dan dadah dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN dua lelaki menjual motosikal jenis Kawasaki Z250 dicuri dianggarkan bernilai RM10,000 terbantut selepas mereka ditahan polis di sebuah rumah di Taman Pulasan, Jitra, Kubang Pasu, 12.40 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, motosikal itu dilaporkan hilang semalam sekitar daerah ini.

Chien berkata, susulan maklumat diterima pihaknya menahan lelaki yang juga penganggur berusia 43 tahun dan tukang cat berusia 45 tahun.

Katanya, tukang cat berkenaan kemudian menunjukkan lokasi motosikal curi itu disembunyikan iaitu di berhampiran kedai cat Kampung Budi, Jitra.

“Kami turut merampas tujuh biji pil disyaki eramin 5 daripada suspek, mereka berdua kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, penganggur terbabit memiliki empat rekod jenayah lampau membabitkan dadah, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.

“Tukang cat itu pula memiliki tujuh rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.

“Hasil siasatan awal kita percaya suspek cuba menjual motosikal itu namun masih belum ada pembeli,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 3:33 PM