TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur (tengah) bersama anggotanya menunjukkan pelbagai jenis ular yang dirampas dan cuba diseludup ke negara jiran. FOTO Ihsan PDRM
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur (tengah) bersama anggotanya menunjukkan pelbagai jenis ular yang dirampas dan cuba diseludup ke negara jiran. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN menyeludup kira-kira 150 ekor ular pelbagai spesis ke negara jiran melalui sempadan Malaysia-Thailand, di Bukit Kayu Hitam, gagal apabila polis berjaya menemui dan merampas reptilia berkenaan, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, ular itu ditemui sepasukan anggota Balai Polis Bukit Kayu Hitam yang menjalankan serbuan di kontena tempat parkir dalam kawasan bebas cukai, di sini.

Beliau berkata, ular berkenaan didapati masih hidup dan ditemui 8 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kontena itu tidak berkunci dan terdapat 30 karung guni plastik biru di dalamnya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati setiap karung guni itu mengandungi antara empat hingga lima ekor ular pelbagai spesis, ” katanya kepada Harian Metro.

Chien berkata, pihaknya percaya kesemua ular itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran kerana mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata, hasil pemerhatian 45 minit di kawasan itu mendapati tiada sesiapa yang datang mengambil ular berkenaan.

“Pihak kami merampas kesemua ular berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 3:25 PM