SUSPEK kes samun ditahan di tepi jalan di kawasan Alor Setar. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK kes samun ditahan di tepi jalan di kawasan Alor Setar. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Tiga lelaki yang berjaya melarikan diri selepas menyamun sebuah rumah di Tok Kesop, dekat sini, Khamis lalu dicekup semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 25 tahun ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dibantu Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan antara jam 1 hingga 5 petang secara berasingan di kawasan Alor Setar.

"Hasil siasatan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Namun ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati mereka bebas dari dadah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Chien berkata, tangkapan itu berjaya menyelesaikan satu kes samun berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek mengambil rantai emas di leher mangsa, wang tunai RM2,200, selain dan turut melarikan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Kesemua mereka direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 18 Mac ini untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak secara berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 7:11 PM