Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis menahan 10 individu selepas menyerbu sebuah premis di sini, Khamis lalu yang menjadi pusat operasi panggilan mempromosikan sindiket perjudian dalam talian.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang menerusi Op Dadu jam 3.15 petang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, semua suspek terdiri daripada lapan wanita dan dua lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30-an.

Katanya, sindiket itu disyaki mempromosikan judi dalam talian dengan mensasarkan mangsa dari negara jiran.

"Polis juga mendapati premis berkenaan turut dijadikan sebagai pusat pangilan atau 'Call Centre'.

"Kesemua yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod lampau sama ada membabitkan jenayah atau dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

BARANG komputer yang dirampas berhubung kes sindiket perjudian dalam  talian. FOTO Mikail Ong
BARANG komputer yang dirampas berhubung kes sindiket perjudian dalam talian. FOTO Mikail Ong

Antara barangan yang dirampas ialah 16 unit telefon bimbit, 10 monitor, tetikus dan papan kekunci komputer selain jadual kerja serta skrip perbualan.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, siasatan mendapati kesemua suspek terdahulu dibekalkan nombor telefon daripada ejen lain di lokasi berlainan menerusi Google Drive.

Katanya, mereka kemudian akan menghubungi pelanggan di luar negara bagi menawarkan perkhidmatan permainan secara dalam talian.

"Bagi pelanggan yang berminat, mereka akan diberi pautan bagi tujuan pendaftaran dan kesemua transaksi kewangan diurus oleh ejen lain.

"Pada masa ini, kita masih mengesan baki ahli sindiket yang disyaki terbabit dengan kegiatan ini," katanya lagi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a), (b), (c) dan (g) Akta Rumah Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 1:49 PM