Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Remaja bawah umur antara 18 suspek ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud menyebabkan kerugian kira-kira RM3 juta yang ditumpaskan polis dalam dua serbuan di Batu Feringghi di sini, Khamis lalu.

Semua suspek berusia 16 hingga 23 tahun itu terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita warga tempatan. Serbuan pertama dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut ke atas sebuah rumah di Jalan Sungai Emas Satu, Batu Feringghi kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, 12 suspek terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 16 hingga 23 tahun ditahan.

Katanya, sindiket menawarkan pinjaman wang kepada mangsa menerusi media sosial Facebook dan Instagram sebelum diminta mengisi maklumat peribadi serta jumlah pinjaman dipohon menerusi pautan yang diberikan.

"Mangsa akan dihubungi ahli sindiket menerusi telefon dan diminta membuat pelbagai bayaran wang proses sebelum pinjaman itu diluluskan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 34 telefon bimbit pelbagai jenama, 14 kad mesin pengeluaran automatik (ATM) dan dua komputer riba.

Katanya, serbuan kedua ke atas sebuah rumah di Solok Sungai Emas, Batu Feringghi pada kira-kira jam 7 petang hari sama menahan enam lagi lelaki dan merampas merampas 11 kad ATM, 10 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah komputer riba.

MOHD Shuhaily (kanan) meilhat barang kes berjaya di rampas dalam tangkapan ke atas sindiket pinjaman wang tidak wujud (PTW) melalui atas talian ketika sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
MOHD Shuhaily (kanan) meilhat barang kes berjaya di rampas dalam tangkapan ke atas sindiket pinjaman wang tidak wujud (PTW) melalui atas talian ketika sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

"Semakan ke atas nombor telefon bimbit yang digunakan ahli sindiket mendapati nombor berkenaan terbabit dengan 21 kes yang dilaporkan di 12 negeri termasuk Pulau Pinang.

Mengulas lanjut Rosni berkata, siasatan mendapati ahli sindiket akan memberi pelbagai alasan yang meyakinkan mangsa bagi membuat bayaran wang proses namun apabila pembayaran sudah dibuat, panggilan daripada mangsa akan disekat.

Katanya, kesemua suspek mengaku terbabit dengan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud secara dalam talian dengan berperanan sebagai operator panggilan dan dipercayai sudah lebih enam bulan beroperasi di platform media sosial berkenaan.

"Sindiket itu dipercayai memuat naik iklan pinjaman wang menerusi Facebook dan Instagram bagi menarik minat mangsa membuat pinjaman serta sering berpindah lokasi rumah sewa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kesemua suspek dipercayai menerima bayaran RM3,000 hingga RM5,000 sebulan sebagai operator sindiket dan seorang daripada mereka menyewa rumah berkenaan dengan bayaran RM3,500 sebulan," katanya lagi.

Menurut Rosni, pihaknya percaya sindiket terbabit mengaut keuntungan sehingga RM500,000 sebulan hasil daripada kegiatan mereka.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mengikut Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 3:44 PM