Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan Perak akan membawa isu perolehan Tanah Rizab Melayu oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu sebagaimana berlaku di Sitiawan, kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan), berkata beliau bersama Setiausaha Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang negeri; dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beberapa pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Selasa lalu.

Katanya, berdasarkan perbincangan itu pihak SSM memaklumkan tiada peraturan di bawah Akta Syarikat Malaysia 2016 yang boleh menyekat atau menghalang mana-mana syarikat meminda perlembagaannya termasuk bagi tujuan penjualan saham syarikat sama ada kepada Melayu atau bukan Melayu.

"Persoalannya, di mana punca kuasa untuk menyekat aktiviti sedemikian? Inilah yang saya maksudkan sebagai kelompongan begitu serius yang perlu diberi perhatian.

"Kerana tindakan lembaga pengarah membenarkan penjualan saham kepada bukan Melayu meskipun mengetahui tindakan itu akan mengakibatkan Tanah Rizab Melayu yang dimilikinya akan jatuh kepada bukan Melayu, jelas bercanggah dengan Enakmen Rizab Melayu.

"Pihak SSM juga menyatakan tiada peruntukan dalam Akta Syarikat Malaysia 2016 yang memberi kuasa kepada SSM untuk membatalkan pendaftaran syarikat meskipun berlaku perubahan pemilikan saham memandangkan ia dianggap sebagai urusan dalaman sesebuah syarikat.

"Pada masa sama, SSM sebagai pengawal selia syarikat tidak mempunyai 'locus standi' untuk menyekat aktiviti penjualan saham oleh syarikat yang memiliki tanah berstatus Tanah Rizab Melayu," katanya ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Faisal ingin mengetahui bagaimana sebuah syarikat atau pertubuhan yang tidak menetapkan syarat bahawa pemilikan syarikat atau pertubuhan mestilah terdiri daripada orang Melayu sahaja, boleh dibenarkan oleh Menteri Besar terdahulu mengambil alih tanah berstatus rizab Melayu di Perak.

Saarani sebelum ini menegaskan isu Tanah Rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan yang hangat diperkatakan kerana sudah berpindah milik kepada bukan Melayu, tidak pernah dipindah milik melalui pihak berkuasa tanah iaitu PTG negeri, sebaliknya diperoleh oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 2:20 PM
Saarani Mohamad menjawab soalan lisan ketikaPersidangan Pertama Mesyuarat Ketiga Tahun Pertama Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Rodzuan. FOTO L. MANIMARAN
Saarani Mohamad menjawab soalan lisan ketikaPersidangan Pertama Mesyuarat Ketiga Tahun Pertama Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Rodzuan. FOTO L. MANIMARAN