MEMBANGUNKAN TRM di kawasan strategik termasuk dalam bandar dapat mengimbangi jurang populasi kaum di bandar.
MEMBANGUNKAN TRM di kawasan strategik termasuk dalam bandar dapat mengimbangi jurang populasi kaum di bandar.
Muhamaad Razis Ismail


Pada 2022, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Asli merekodkan keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negara ini adalah 4,996,406.42 hektar.

Berdasarkan jawapan menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.67 peratus berbanding pada 2021 iaitu 4,963,190.8 hektar.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Skim Perumahan MADANI akan diwujudkan untuk membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik atas TRM dan kerajaan juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia, kekal dimiliki orang Melayu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut uar-uarkan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Ekonomi Bumiputera Ke-3 (KEB2024).

Secara asasnya, TRM adalah jenis hartanah khusus kepada orang Melayu Islam sahaja. Ini bermaksud, orang asli dari Sabah dan Sarawak dan orang Islam bukan Melayu tidak boleh memiliki hartanah jenis ini.

TRM diperkenalkan bermula 1914 melalui Enakmen Rizab Melayu (ERM) di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan diikuti di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu bermula 1930 hingga 1941.

Selain itu, TRM adalah dijamin dalam Perkara 89 Perlembagaan Malaysia untuk memastikan tanah tidak berkurangan dan sebaiknya bertambah.

Pensyarah Kanan Pengajian Harta Tanah & Ukur Bangunan Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, pengenalan TRM mempunyai dua asas utama iaitu menyekat tanah kerajaan dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara sekali pun kepada bukan Melayu.

PENYELARASAN semula perundangan TRM tanpa menghilangkan semangat dan kedaulatan negeri berkaitan tanah dapat meningkatkan nilai hartanah TRM.
PENYELARASAN semula perundangan TRM tanpa menghilangkan semangat dan kedaulatan negeri berkaitan tanah dapat meningkatkan nilai hartanah TRM.

Katanya, selain itu, TRM diperkenalkan untuk menyekat tanah pegangan Melayu atau TRM daripada dibuat apa-apa urus niaga persendirian antara Melayu dan bukan Melayu.

"Secara prinsip dan pemilikan, hanya individu yang diiktiraf sebagai seorang Melayu sama ada secara keturunan atau diiktiraf melalui undang-undang (berdasarkan takrifan perlembagaan) yang layak memiliki TRM.

"Namun dari sifat penggunaan sama ada disewa atau dihuni, bukan Melayu masih boleh menggunakannya seperti kediaman, bangunan komersial dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, menurut Perkara 89 (2) Perlembagaan Persekutuan, tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk tanam (cultivated) sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan Rizab Melayu.

"Jika 100 hektar tanah kawasan baharu diisytiharkan maka satu kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuk tanam seluas 100 hektar juga hendaklah disediakan untuk diberi milik kepada orang ramai termasuk Melayu.

"Sekiranya mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta-merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah," katanya.

Mengulas lanjut, secara prinsipnya TRM tidak boleh dijual.

"Bagaimanapun, sekiranya ada keperluan seperti membabitkan pembangunan berkepentingan awam, ia boleh dijual dengan syarat, luas tanah yang dijual itu diganti di kawasan lain dengan keluasan yang sama.

"Cuma terdapat isu di sini apabila keluasan (tanah) yang diganti itu tidak memberi gambaran kepada nilai sebenar TRM yang diambil itu. Banyak kes tanah diganti di kawasan luar bandar atau berhampiran hutan berbanding TRM asal berada di kawasan yang strategik," katanya.

Namun kelebihan TRM adakah menjadi pelindung dan lambang ketuanan Melayu di negara ini?

"TRM sememangnya menjadi hak eksklusif orang Melayu untuk memilikinya dan menjadi perlindungan kepada pegangan harta orang Melayu supaya kekal terpelihara," katanya.

Bagaimanapun, dari sudut nilaian pasaran TRM pastinya tidak boleh bersaing dengan pasaran tanah yang bukan TRM.

PENGGUBALAN akta khas boleh memberi definisi, hala tuju dalam pelbagai aspek kepada Enakmen TRM.
PENGGUBALAN akta khas boleh memberi definisi, hala tuju dalam pelbagai aspek kepada Enakmen TRM.

"Biasanya nilai TRM berbanding bukan TRM adalah 20 peratus hingga 30 peratus lebih murah kerana ia terhad kepada orang Melayu sahaja.

"Tambahan pula, kuasa beli orang Melayu agak terhad menyebabkan pergerakan harga atau nilai tidak mampu bersaing seperti tanah bukan Melayu," katanya.

Dr Muhammad Azwan berkata, banyak cadangan dan pelbagai resolusi untuk penambahbaikan TRM dilontarkan sebelum ini.

"Bagi saya, perkara asas yang penting dalam penambahbaikan TRM adalah memberikan nafas baharu kepada TRM yang sentiasa dinilai bernilai rendah tanpa menggadaikannya kepada bukan Melayu.

"Cadangan Penubuhan Lembaga Nasional Tanah Rizab Melayu (LNTRM) yang pernah dilontarkan pada Konvensyen Tanah Rizab Melayu 2019 di UiTM dulu perlu diberi perhatian sepenuhnya. Lembaga ini boleh memainkan peranan sebagai pihak yang memantau proses pembangunan TRM," katanya.

Selain itu, beliau berpendapat, dengan membangunkan TRM di kawasan strategik termasuk dalam bandar dapat mengimbangi jurang populasi kaum di bandar.

"Dengan menggazetkan TRM dalam bandar, kemudian pembangunan dilaksanakan di tanah itu akan meningkatkan mobilisasi orang Melayu ke bandar di samping meningkatkan nilai TRM itu sendiri," katanya.

Pada masa sama, penyelarasan semula perundangan TRM tanpa menghilangkan semangat dan kedaulatan negeri berkaitan tanah seperti dijamin dalam perlembagaan dapat meningkatkan nilai hartanah TRM.

"Penggubalan akta khas seperti Akta Pembangunan Tanah Rizab Melayu, yang boleh memberi definisi, hala tuju dalam pelbagai aspek kepada Enakmen TRM di negeri-negeri supaya TRM tidak dilihat sebagai tanah yang tidak mempunyai nilai dan potensi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 7:00 AM