SEKITAR Hutan Simpan Jebong Tambahan, Kuala Sepetang. gambar fail, sekadar hiasan. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Perak
SEKITAR Hutan Simpan Jebong Tambahan, Kuala Sepetang. gambar fail, sekadar hiasan. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Perak
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyarankan Jabatan Audit Negara mengeluarkan laporan lebih konkrit dan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik Tanah Rizab Melayu (TRM) pada masa depan.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, merujuk kepada laporan Audit Negara 2019 (siri 2) Perak yang dikeluarkan Ketua Audit Negara menggambarkan wujud kelemahan pengendalian rekod atau daftar menyebabkan statistik TRM tidak memberi gambaran sebenar keluasan tanah di negeri berkenaan.

Menurutnya, pewartaan TRM juga mengambil masa yang lama untuk disempurnakan dan pengisytiharannya juga tidak menepati syarat serta proses pemberian milikan didapati tidak diadakan secara teratur.

Katanya, kesilapan tindakan pembetulan diambil oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga membenarkan berlakunya pindah milik kepada bukan Melayu walaupun bertentangan Enakmen Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142 (ERM 142).

"Sebagai contoh pindah milik kepada bukan Melayu membabitkan satu lot TRM di Mukim Jaya Baru, Perak Tengah dan dua lot TRM di Mukim Setiawan, Manjung yang keseluruhannya meliputi seluas 3,214.084 hektar," katanya kepada pemberita ketika ingin menyerahkan memorandum kepada Jabatan Audit Negara menggesa Ketua Audit Negara memberi syor dan saranan kepada PTG Perak untuk mengembalikan TRM yang dipindah milik secara salah kepada bukan Melayu.

Turut hadir penasihat MHO Tan Sri Musa Hassan.

Bagaimanapun memorandum itu gagal diserahkan kepada Jabatan Audit Negara selepas seorang pegawai jabatan itu memaklumkan ia perlu diserahkan kepada PTG Perak dan bukan di bawah bidang jabatan itu.

Hisamuddin berkata, pencerobohan TRM disebabkan kelemahan tindakan penguatkuasaan sehingga menimbulkan kerugian kepada Kerajaan Negeri dan jumlah TRM juga semakin berkurangan.

Menurutnya, selain TRM yang bertukar hak status apabila dipindah milik kepada bukan Melayu terdapat sebilangan TRM yang masih berstatus rizab Melayu tetapi dimiliki bangsa lain yang mana proses pindah milik diragui serta tidak mengikut undang-undang.

Katanya, MHO menyarankan TRM itu dikembalikan semula kepada pihak yang betul dengan menggunapakai Seksyen 380 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 iaitu berkaitan Pembetulan Kesilapan dalam dokumen hak milik dan Seksyen 380 KTN 196 menggunakan autoriti am Mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 6:53 PM