Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lakukan khianat terhadap premis jual kenderaan baru dan terpakai sebelum mengugut meminta wang sebanyak RM10,000 menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Itu taktik dilakukan suspek terhadap 10 premis menjual kenderaan baru dan terpakai di sekitar daerah Timur Laut menyebabkan sebanyak 43 kereta dan 18 motosikal pelbagai jenama mengalami kerosakan akibat disimbah cecair disyaki peluntur cat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi, pihaknya mengesan lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC.

Katanya, dengan mensasarkan premis jualan kenderaan baru dan terpakai, suspek membaling bungkusan plastik berisi cecair berwarna merah atau peluntur cat ke arah kenderaan dalam kawasan premis.

"Suspek didapati melakukan perbuatan itu sekitar jam 3 petang hingga 6 pagi seorang diri dan selepas melakukan khianat, lelaki berkenaan menghubungi pemilik menerusi SMS serta meminta wang sebanyak RM10,000.

"Jika pemilik premis enggan membuat bayaran, suspek mengugut mengulangi perbuatan itu dan sehingga kini ada premis yang sudah tiga kali disimbah cecair berkenaan kerana tidak mahu mengikut kemahuannya.

"Setakat ini, polis sudah menerima sebanyak 12 laporan kes khianat sejak 2 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Soffian berkata, susulan itu satu operasi khas turut dilancarkan bagi mengesan suspek.

Beliau berkata, sebuah kedai jualan motosikal di Jalan Dato Keramat antara lokasi terakhir menjadi sasaran perbuatan khianat dalam kejadian jam 10.42 malam tadi.

Katanya, pihaknya mengesan serpihan tembakan serta keretakan pada cermin premis dan ketika kejadian, tiada individu dalam premis itu kerana sudah tamat waktu operasi.

"Kita dapati tembakan itu tidak membabitkan sejenis senjata api tetapi dipercayai menggunakan senapang angin.

"Perbuatan dipercayai dilakukan suspek yang menaiki Proton Wira Aeroback berwarna hitam dengan cermin gelap dan setakat ini pemilik premis itu tidak menerima sebarang SMS atau dihubungi suspek.

"Kita sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek mempunyai kaitan kerana dalam kejadian, premis berkenaan tidak disimbah dengan cecair asid tetapi dilepaskan tembakan," katanya.

Terdahulu, Soffian menghadiri perjumpaan dengan 24 ahli Persatuan Pengusaha Kereta Terpakai Pulau Pinang diketuai ialah Presidennya, Datuk Tony Khor Chong Boon.

Tony berkata, terdapat sebanyak 408 premis perniagaan kenderaan terpakai di negeri ini dan pertemuan itu adalah bagi memberi kerjasama kepada polis.

"Kesemua mangsa tidak mempunyai hutang dengan lintah darat atau sebagainya, tetapi kami percaya perbuatan itu dilakukan bagi memeras ugut pemilik premis," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai David berkata, premisnya di Air Itam turut menjadi sasaran khianat baru-baru ini.

"Selepas kejadian itu, saya menerima SMS yang meminta wang sebanyak RM10,000 supaya memudahkan operasi perniagaan dan jika tidak, pelaku itu akan lakukan khianat dengan lebih teruk," katanya di sini.

SOFFIAN menunjukkan gambar keadaan kenderaan yang disimbah peluntur cat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini. FOTO Danial Saad
SOFFIAN menunjukkan gambar keadaan kenderaan yang disimbah peluntur cat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 2:48 PM