Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita di beberapa lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mencuri kabel.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tiga suspek yang pertama ditahan pada 23 Mac lalu di tiga lokasi berasingan.

Menurutnya, susulan penahanan mereka itu membawa polis ke sebuah kedai menjual barangan lusuh yang dipercayai membeli hasil curi terbabit.

Katanya, polis kemudiannya menahan wanita berusia 40-an yang juga pemilik premis berkenaan sebelum menahan seorang lagi rakan suspek.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap lima suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun itu didapati negatif dadah.

"Empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Soffian berkata, kesemua suspek direman sehingga 2 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengakui terbabit dengan empat kes curi kabel sekitar Timur Laut membabitkan kerugian sebanyak RM6,000.

"Siasatan masih diteruskan dan kita percaya masih terdapat rakan suspek yang terbabit dengan aktiviti ini.

"Walaupun kecurian kabel ini membabitkan nilai yang sedikit tetapi impaknya besar kerana ia akan mengganggu sistem telekomunikasi," katanya.

Menurut Soffian, polis berjaya menyelesaikan 25 kes kecurian kabel di Timur Laut sepanjang tahun lalu membabitkan nilai kerugian sebanyak RM600,000.

"Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, sebanyak enam kes berjaya diselesaikan membabitkan nilai kerugian sebanyak RM270,000," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (tengah) menunjukkan pelbagai jenis wayar dan kabel serta alatan mencuri kabel berjaya dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPD) di sini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (tengah) menunjukkan pelbagai jenis wayar dan kabel serta alatan mencuri kabel berjaya dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPD) di sini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 1:36 PM