FD Iskandar (tiga dari kiri) bersama ahli majlis kebangsaan REHDA menunjukkan buku taklimat media mengenai Suruhanjaya Industri Hartanah REHDA separuh pertama tahun 2017 di  Kelana Jaya, semalam.
FD Iskandar (tiga dari kiri) bersama ahli majlis kebangsaan REHDA menunjukkan buku taklimat media mengenai Suruhanjaya Industri Hartanah REHDA separuh pertama tahun 2017 di Kelana Jaya, semalam.
Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mengunjurkan 17,535 unit rumah daripada projek hartanah baru dilancarkan separuh kedua tahun ini dalam julat harga antara RM250,000 hingga RM500,000.

Bagaimanapun, bagi Selangor dan Kuala Lumpur masih mengekalkan julat harga sama seperti separuh pertama 2017 iaitu rumah berharga bermula RM500,001 hingga RM1 juta.​

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, unjuran itu merangkumi 7,386 unit hartanah perumahan bertanah, 9,647 unit hartanah strata dan selebihnya iaitu 502 unit adalah hartanah komersial.

Beliau berkata, julat harga bakal ditawarkan bagi projek baru dilancarkan di Perak, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu menurunkan tawaran harga rumah dari harga RM250,000 hingga RM1 juta kepada RM250,000 hingga RM500,000.

“Sekiranya dilihat pada separuh pertama 2017, REHDA mengunjurkan 21,899 unit rumah akan dilancarkan pemaju rumah di seluruh negara, namun hanya 9,089 unit rumah dilancarkan.

“Keadaan itu menyebabkan kami begitu berhati-hati untuk menepatkan unjuran pada separuh kedua, tetapi tetap optimis sektor hartanah akan kembali berkembang seiring pertumbuhan ekonomi negara yang semakin kukuh,” katanya pada sidang media Tinjauan Industri Hartanah dan Prospek Hartanah REHDA, di sini, semalam.

Tinjauan REHDA pada separuh pertama 2017 membabitkan 153 responden dari Semenanjung itu menunjukkan 31 peratus daripada jumlah responden melancarkan projek baru pada tempoh berkenaan, menurun 12 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Meskipun pelancaran baru dilihat menurun sedikit, dari segi jualan hartanah, ia masih menunjukkan peningkatan kepada 48 peratus berbanding 45 peratus pada tempoh sebelumnya bersandarkan kepada permintaan bagi hartanah bertanah bagi rumah dua dan tiga tingkat serta teres setingkat, pangsapuri servis dan rumah kos rendah.

Bagaimanapun, beliau berkata, 76 peratus daripada responden menjangkakan jualan pelancaran baru mereka akan kekal 50 peratus atau lebih rendah.

“Ini kerana 73 peratus responden menghadapi masalah pembiayaan akhir dengan separuh daripada penolakan pinjaman adalah untuk hartanah berharga RM500,000 atau ke bawah.

“Bagi membantu meningkatkan jualan, pemaju turut mengambil pelbagai langkah seperti membantu pembeli dengan pembayaran 10 peratus pertama, mengkaji semula harga jualan serta meningkatkan inovasi dan kreativiti produk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 1:55 AM