KOS pembinaan dijangka terus meningkat dengan purata peningkatan sekitar 19 peratus berikutan peningkatan harga bahan mentah. FOTO Arkib NSTP
KOS pembinaan dijangka terus meningkat dengan purata peningkatan sekitar 19 peratus berikutan peningkatan harga bahan mentah. FOTO Arkib NSTP
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kos pembinaan dijangka terus meningkat tahun ini dengan purata peningkatan sekitar 19 peratus berikutan peningkatan harga bahan mentah, demikian berdasarkan hasil kaji selidik terkini dijalankan persatuan pemaju hartanah, Rehda.

Pemangku Presidennya, Datuk NK Tong berkata, peningkatan kos pembinaan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada harga hartanah, namun peningkatan harga bergantung kepada keupayaan pemaju menyerap peningkatan kos dan kemampuan rakyat menerima kenaikan harga.

Katanya, sebahagian besar pemaju hartanah menjangkakan peningkatan harga bahan binaan dan mereka mengambil langkah memastikan impak kos terkawal, termasuk mengoptimumkan reka bentuk dan penggunaan teknologi dengan menawarkan hartanah memenuhi permintaan pasaran.

"Gangguan rantaian bekalan memberi tekanan kepada kos pembinaan. Walaupun terlalu awal menyatakan impak konflik Rusia-Ukraine terhadap pasaran (hartanah), namun ia dijangka memberi tekanan kepada kos untuk terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan hasil Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Kedua 2021 dan Tinjauan Pasaran bagi 2022 Rehda secara dalam talian, semalam.

Namun, berdasarkan kaji selidik itu, pemaju hartanah di negara ini lebih optimis terhadap prospek pasaran hartanah separuh kedua tahun ini dengan kebanyakannya bercadang lancarkan unit kediaman pada harga mampu milik.

Kaji selidik itu menunjukkan 51 peratus daripada 124 responden bercadang melancarkan projek baharu separuh pertama tahun ini membabitkan 24,557 unit dengan 17,969 unit kediaman strata, 5,997 unit kediaman bertanah dan 591 unit komersial.

Namun daripada segi prestasi jualan, majoriti responden atau 77 peratus menjangkakan prestasi jualan mereka 50 peratus dan ke bawah untuk separuh pertama 2022.

Tong berkata, kebanyakan responden menyasarkan untuk melancarkan unit dalam harga RM250,001 hingga RM500,000, sementara bagi pelancaran hartanah di Johor, Selangor dan Pulau Pinang pula membabitkan harga antara RM500,001 hingga RM700,000.

Beliau berkata, walaupun kaji selidik hanya menarik 124 responden daripada jumlah keseluruhan ahlinya lebih 1,500, yang mana ia tidak mencakupi keseluruhan statistik, hasil kaji selidik terkini itu kekal berfungsi sebagai panduan berguna dan mencerminkan sentimen dalam industri hartanah.

Kaji selidik itu menunjukkan prestasi jualan hartanah meningkat pada separuh kedua 2021 dengan 5,303 unit dijual berbanding 4,540 pada separuh pertama 2021, dengan rumah teres dua hingga tingkat menjadi tumpuan.

Bagi unit tidak terjual pula, 67 responden melaporkan mempunyai 30 peratus dan ke bawah unit kediaman tidak terjual yang sebahagian daripada unit membabitkan harga antara RM250,001 hingga RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 8:36 AM