ANTHONY Loke pada sidang media selepas merasmikan penukaran Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
ANTHONY Loke pada sidang media selepas merasmikan penukaran Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: DAP membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pendedahan bahawa ada menteri daripada parti itu pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke berkata, keputusan supaya kes Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah adalah keputusan Kabinet ketika itu.

Katanya, sehubungan itu tindakan Muhyiddin melemparkan dan meletakkan beban itu kepada DAP adalah tidak wajar.

"Kes (Jill Ireland) adalah keputusan Kabinet ketika itu dan mungkin beliau (Muhyiddin) tidak hadir ketika Kabinet membuat keputusan berkenaan.

"Tindakan beliau lemparkan dan letakkan beban itu pada DAP saja, tidak wajar dan kita tahu tindakan politik Muhyiddin hanya hendak salahkan DAP.

"Ketika itu KDN (Kementerian Dalam Negeri) tidak setuju dan teruskan tindakan mahkamah, itu terpulanglah, tapi apabila dicadangkan penyelesaian yang lebih menyeluruh di luar mahkamah, telah ditolak dan keputusannya kerajaan kalah.

"Jadi, saya nak nyatakan bahawa Muhyiddin tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu, tapi kita tahu apa permainan dan tujuan politiknya," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penukaran Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong, veteran DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Semalam, media melaporkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mendedahkan ada menteri daripada DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Muhyiddin dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku sewaktu memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.

Justeru, Ahli Parlimen Pagoh itu menzahirkan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan kini dalam menarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah kerana ia membabitkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Seremban menyifatkan kenyataan itu sebagai cubaan memainkan sentimen perkauman dan agama.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat Kabinet semalam, bahawa isu agama yang sensitif mesti ditangani dengan baik.

"Sudah tentu Kabinet sebagai institusi yang membuat keputusan tertinggi sentiasa mempertahankan kedudukan Islam dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

"Isu ini akan ditangani dengan baik dan harmoni tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 2:13 PM