HAMZAH. FOTO Arkib NSTP
HAMZAH. FOTO Arkib NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mereka adalah salah dan tersasar sama sekali.

Ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jelas keputusan ini membuktikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah, walhal perkara ini boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

Beliau berkata, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab secara langsung dalam kes Jill Ireland Binti Lawrence Bill lawan menteri bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan, merasa teramat kesal, terkilan dan kecewa dengan keputusan kerajaan ini.

"Dalam Perlembagaan, apa juga keputusan perbicaraan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan semua pihak perlu membenarkan proses undang-undang ini mengambil tempat dengan sewajarnya tanpa sebarang campur tangan.

"Biarlah mahkamah di peringkat tertinggi yang memutuskan dan selepas kesemua proses undang-undang itu sudah disempurnakan, kita wajib menghormati keputusan mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, lebih menimbulkan persoalan, mengapa secara tiba-tiba kerajaan tidak mahu membenarkan proses perundangan dan kehakiman mengikut Perlembagaan itu mengambil tempatnya.

"Mengapa proses perundangan dan kehakiman itu dihalang dan mengapa Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah Allah ini amat sensitif.

"Tambah menyedihkan, bukan saja keputusan kontroversi itu dibuat senyap-senyap sehingga menimbulkan perdebatan tentang motif sebenar kerajaan, bahkan Notis Pemberhentian bagi menyatakan niat untuk tidak meneruskan rayuan serta pemberhentian keseluruhan rayuan ini juga dibuat pada 18 April lalu, iaitu ketika Ramadan," katanya.

Mengambil contoh kes Menteri Dalam Negeri lawan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur pada 2009 yang berkait isu penggunaan kalimah Allah, Hamzah berkata, selepas selesai perbicaraan di Mahkamah Tinggi, rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan dipengerusikan Tan Sri Apandi Ali pada 2013.

"Seterusnya proses di Mahkamah Persekutuan mengambil tempat, dipengerusikan Tun Arifin Zakaria, sehinggalah akhirnya keputusan dibuat pada 23 Jun 2014 iaitu Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan The Herald," katanya.

Lebih mengelirukan kata beliau, Perdana Menteri sendiri mengeluarkan kenyataan kononnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu hanya terpakai di Sarawak, yang secara jelas membuktikan beliau seorang cuai, yang tidak meneliti keputusan mahkamah.

"Saya katakan Perdana Menteri cuai kerana, rampasan lapan cakera padat ajaran agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah pada 11 Mei 2008 itu berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, bukannya di Sarawak dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga relif certiorari, bukan hanya terhad kepada Sarawak.

"Anwar sendiri, bersama James Peter Ongkili dan Allahyarham Tun Ghafar Baba adalah anggota Kabinet yang terbabit dalam Jawatankuasa Mengkaji Istilah/Perkataan Islam Di Dalam Al-Kitab Yang Tidak Boleh Digunakan pada 1986.

"Sepatutnya beliau lebih faham tentang sensitiviti serta mudarat lebih besar dengan tidak membuat kenyataan mengelirukan begitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 8:00 PM