Pinggan yang digunakan peniaga di sebuah kedai makan di Kuantan. FOTO Ihsan Majlis Bandaraya Kuantan
Pinggan yang digunakan peniaga di sebuah kedai makan di Kuantan. FOTO Ihsan Majlis Bandaraya Kuantan
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 54 premis makanan di daerah ini diarah tutup selepas didapati mengabaikan kebersihan dalam Operasi Gempur Premis Makanan 2023 bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal, berkata arahan penutupan premis terbabit dilaksanakan mengikut Seksyen 72 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 267 kompaun berjumlah RM54,150 dikeluarkan terhadap peniaga terbabit.

"Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, tidak memakai kad kesihatan dan membenarkan pekerja bekerja tanpa menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Selain itu peniaga didapati membiarkan premis dalam keadaan kotor, tidak memperbaharui lesen, tidak memakai kasut ketika mengendalikan makanan, tidak memakai apron dan topi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norkamawati berkata, sebanyak 51 Operasi Gempur Premis Makanan 2023 dilaksanakan sepanjang tempoh itu.

Katanya, antara lokasi operasi itu ialah Tanjung lumpur, RNR simpang Gambang, Jalan Besar, Jalan Mahkota dan Jalan Gambut.

"Selain itu, operasi turut dilakukan di Jalan Tun Ismail , Jalan Beserah, Teluk Cempedak, Jalan Wong Ah Jang, Cenderawasih dan Indera Mahkota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 10:13 AM