TONG sampah khas yang digunakan MBK. FOTO Mohd Rafi Mamat
TONG sampah khas yang digunakan MBK. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menghasilkan tong sampah khas yang menghalang kera daripada menyelongkar bekas plastik berkenaan.

Tong sampah kalis kera yang dihasilkan Kumpulan Inovatif dan Kreatif daripada Jabatan Landskap MBK itu mampu menangani isu sampah bertaburan berpunca daripada haiwan liar terbabit.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Norkamawati Kamal berkata, sebelum ini kawasan terbabit kotor disebabkan kera liar yang menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan sehingga merencatkan pemandangan pusat peranginan itu.

Menurutnya, masalah tersebut dapat diatasi menerusi penggunaan tong sampah khas itu dan sekali gus menjamin kebersihan Teluk Cempedak.

"Kalau dulu kita menggunakan tong sampah biasa dan kera boleh membuka serta menyelongkar makanan dalam tong sampah itu setiap hari.

"Kami terpaksa membuat satu inovasi rekaan bagi membolehkan sampah seperti bungkusan sisa makanan yang dibuang pengunjung tidak boleh diselongkar haiwan terbabit.

"Jadi, terhasilah tong sampah ini praktikal untuk kegunaan orang ramai dan ia tidak boleh diakses (buka) oleh kera kerana terhalang oleh petak bahagian atas," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, sebagai langkah permulaan, MBK meletakkan enam tong sampah khas itubernilai RM300 setiap satu di persisiran pantai.

Katanya, tong sampah ini mempunyai struktur licin dan tertutup rapi berbanding tong sampah biasa.

Norkamawati menambah, reka bentuk dinamik dan mesra pengguna juga menambah seri landskap Teluk Cempedak.

Sementara itu, peniaga kiosk pakaian, Nor Azizah Abdul Manaf, 45, berkata, tiada lagi sampah bertaburan di kawasan Teluk Cempedak selepas tong sampah khas ini diletakkan di pusat peranginan ini.

"Kita berpuas hati dengan usaha MBM yang cubamengurangkan sampah-sarap dari bersepah di ruang bangku dan persisiran pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 11:27 AM