GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang lelaki yang memburu di kawasan Hutan Simpan Bukit Pelanduk, Machang tertembak anak sepupunya, awal hari ini.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, lelaki berusia 39 tahun dikatakan melepaskan tembakan selepas menyangka mangsa adalah haiwan buruan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan daripada suspek pada 9.50 pagi yang memaklumkan tertembak anak sepupu menggunakan senapang patah buatan sendiri.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Machang ke satu lokasi di belakang Pejabat Perhutanan Bukit Batu Tapong, Machang.

"Kami menemui mayat lelaki berusia 26 tahun dan selaras senapang patah buatan sendiri serta sebiji kelonsong peluru penabur dan empat biji peluru penabur.

"Polis turut merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, berdasarkan keterangan, suspek secara tidak sengaja tertembak anak sepupunya dengan menyangka mangsa adalah binatang buruan.

"Mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan kejadian dengan bantuan orang kampung dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk perintah tahanan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 7:09 PM